Friday, May 29, 2009

Jom ke Johor...



salam bahagia...

sempena cuti ni, jom jalan2 ke Johor, negeri kelahiranku yang tercinta....
di sini di coretkan beberapa tempat yg menarik untuk dilawati di negeri Johor Darul Takzim..


1) TEMPAT MENARIK - Johor Bahru

GUNUNG PULAI

Satu-satunya hutan simpan yang terdekat dengan Johor Bahru ialah Hutan Simpan Gunung Pulai. Ia dibuka untuk orang ramai dan amat sesuai untuk aktiviti perkelahan ataupun bersantai bersama keluarga. Pokok-pokok yang tinggi melampai dan irama unggas rimba mengamit kedatangan para pengunjung di sini.. Keindahan air terjun Gunung Pulai merupakan tarikan utama hutan simpan ini. Air Terjun Gunung Pulai mempunyai 3 peringkat; yang terbesar ialah peringkat kedua setinggi 15 meter. Terdapat juga kolam buatan manusia yang sesuai untuk pengunjung bermandi-manda dan berkelah di peringkat pertama dan kedua.

Pengunjung yang cintakan kehijauan alam akan terpesona melihat keindahan alam semulajadi serta hidupan liar di Gunung Pulai. Dibajai oleh sungai dan tanpa ganguan manusia, flora dan fauna mewarnai kehidupan di Gunung Pulai.
Bagi mereka yang gemar berkhemah pula, kawasan perkhemahan juga disediakan. Bermula dari kaki gunung melalui peringkat pertama dan kedua air terjun, berjalan dicelah-celah hutan tropika dan berakhir di peringkat ketiga air terjun adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh mereka yang gemar merentas hutan. Setelah penat seharian meredah hutan, mereka bolehlah beristirehat di kawasan perkhemahan yang disediakan.




2) TEMPAT-TEMPAT MENARIK - Kluang

GUNUNG BELUMUT

Hutan Rekreasi Gunung Belumut terletak di bahagian utara daerah Kluang. Nama "Gunung Belumut" berasal dari keadaan gunung itu sendiri yang licin kerana batuannya yang belumut dan licin.

Perjalanan menuju ke puncak Gunung Belumut kini telah diperbaiki untuk memudahkan pendakian para pengunjung. Air terjunnya juga terletak di aras bawah gunung tersebut dan ia tidak terlalu tinggi. Ini memudahkan para pengunjung datang bersantai tanpa perlu mendaki tinggi.

Untuk para pendaki, jumlah masa yang diperlukan untuk tiba di puncak gunung pada ketinggian 1004m dibawah paras laut ialah 4 jam. Selepas dua jam pendakian, para pendaki sudah boleh melihat salah satu mercu tanda di daerah Kluang yang terkenal iaitu "Batu Mahkota". Batu Mahkota ialah sebiji batu yang berbentuk seperti sebuah mahkota raksasa.



GUNUNG LAMBAK

Hutan Rekreasi Gunung Lambak yang terletak hanya 5 km dari bandar Kluang telah menjadi kawasan rekreasi yang sering dilawati oleh pengunjung yang ingin melihat keindahan alam semulajadi. Terletak di kaki bukit Gunung Belumut, kawasan rekreasi ini amat sesuai untuk berkelah, mandi manda dan mendaki bukit. Di sini juga terdapat sebuah kawasan permainan kanak-kanak.

Berada pada 510m di bawah paras laut, Gunung Lambak ini dilengkapi dengan kemudahan lorong pejalan kaki dan jambatan kayu untuk memudahkan perjalanan ke puncak gunung. Selain daripada keindahan flora dan fauna nya, terdapat juga kawasan air terjun untuk para pengunjung menikmati kesegarannya. Rumah penginapan juga ada disediakan bagi mereka yang ingin bermalam di sini.

3) TEMPAT-TEMPAT MENARIK - Batu Pahat

PANTAI MINYAK BEKU
Walaupun Pantai Minyak Beku ini tidak sesuai untuk aktiviti mandi manda, ia amat sesuai untuk aktiviti memancing dan menikmati udara pantainya yang segar. Di sini terdapat sebuah perkampungan nelayan dan juga kuari untuk memproses batu dan pasir. Kawasan memancing paling sesuai dilawati di sini ialah Kampung Orang Asli dan Perkampungan Nelayan Cina Segenting.

Perigi Batu Pahat terletak di Pantai Minyak Beku, 8 km dari pekan Batu Pahat. Perigi ini dipercayai merupakan tempat Daerah Batu Pahat mendapat namanya

4) TEMPAT-TEMPAT MENARIK - Kota Tinggi

AIR TERJUN KOTA TINGGI

Air Terjun Kota Tinggi yang berketinggian 34 meter merupakan antara tempat pelancongan yang popular dikalangan pelancong tempatan dan luar negara. Keindahan dan kedinginan air yang datang dari atas gunung mendamaikan rasa para pengunjung. Terdapat beberapa buah chalet yang didirikan berhampiran dengan kawasan ini bagi memberi kemudahan kepada mereka yang ingin menginap serta menikmati keindahan waktu malam. Terdapat pelbagai restoran yang menyajikan hidangan makanan ala chinese dan barat serta gerai- gerai makanan yang lain. Selain daripada itu tapak perkemahan juga disediakan bagi mereka yang gemarkan dengan aktiviti perkhemahan.


DESARU

Desaru merupakan antara pantai yang popular di daerah ini. Ia terletak di sebelah timur Semenanjung Malaysia. Pantai yang bersih dengan hutan tropika yang subur sepanjang kira-kira 25 kilometer menjadikan Desaru pilihan pelancong tenpatan dan luar negara. Bagi memberi kemudahan kepada para pelancong, terdapat pelbagai resort dan hotel yang dibina dan ia menawarkan harga yang berpatutan kepada pengunjung.

Dibarisi dengan pokok ru dan air laut yang bersih membuatkan pelbagai aktiviti air dapat dijalankan di pantai ini antaranya menyelam, memancing, menaiki bot dan berkanu. Selain itu terdapat juga aktivi lain seperti menunggang kuda, bermain tenis, bermain golf atau merentas hutan.

5) TEMPAT-TEMPAT MENARIK - Mersing

TAMAN NEGARA ENDAU-ROMPIN

Terletak di tengah-tengah sempadan negeri Johor dan Pahang, hutan yang wujud sejak berabad lamanya ini telah menjadi habitat kepada beberapa speisis flora dan fauna yang jarang ditemui. Hutan ini juga menjadi tumpuan pencinta alam yang sukakan hidupan liar dan hutan segar yang belum diterokai.

Hutan Simpan Endau-Rompin meliputi kawasan seluas 48,905 hektar (800 kaki persegi) merupakan hutan simpan kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Taman Negara.

Terdapat dua jalan masuk untuk ke Hutan Simpan ini iaitu melalui Kampung Peta ataupun Nitar. Perjalanan selama lapan jam diperlukan untuk ke taman negara ini dengan menyusuri sepanjang Sungai Endau. Kampung Peta merupakan salah sebuah Kampung Orang Asli yang terpencil di Johor.

Antara tarikan Taman Negara Endau Rompin ialah cerita-cerita lagendanya yang telah wujud sejak dahulu lagi. Salah satu ceritanya adalah berkaitan Upih Guling yang terletak di Air Terjun Buaya Sangkut.



PULAU SIBU

Pulau Sibu Tengah terletak di bahagian timur laut daerah Mersing di Laut China Selatan. Terdapat lebih dari 20 buah resort di sini untuk kemudahan para pengunjung.

Pulau Sibu menyediakan penginapan yang berkonsepkan petempatan melayu asli. Terdapat banyak perkara menarik yang boleh dilihat dan dilakukan di sekitar pulau ini. Keindahan pantai dan hidupan lautnya memberi satu kenangan indah buat para pengunjung. Pastinya para pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti snorkeling di pulau ini.

6) TEMPAT-TEMPAT MENARIK – Pontian

Tanjung Piai

Tanjung Piai, terletak di Mukim Serkat, Pontian dan ianya terletak di bahagian paling selatan mengikut peta Benua Asia. Tanjung Piai menyajikan pemandangan Selat Melaka yang indah. Menangkap ikan masih merupakan aktiviti utama penduduk di daerah ini. Kebanyakan kawasan di sini adalah terdiri daripada paya bakau. Tanjung Piai adalah satu kawasan yang mempunyai fenomena yang "spectacular" dengan kunang-kunang.

Beribu penduduk dari seluruh dunia telah melawat Johor. Sebagai laluan utama ke Malaysia, Johor mempunyai potensi untuk memenuhi percutian dengan penuh bemakna yang dapat diabadikan.



KUKUP

Kukup, terletak disebelah hujung barat daya Semenanjung Malaysia, 20km dari Pontian. Ianya juga dikenali sebagai perkampungan nelayan dimana kebanyakan rumah disana dibina di atas kaki bajang. Kukup cukup popular dengan penternakan ikan dan rangkaian restoran makanan laut yang dihidang dengan masakan tempatan seperti ketam, ikan dan udang.

Pelancong juga dapat mengikuti pakej perjalanan ke Pusat Akuakultur untuk melihat berbagai jenis ikan dan kehidupan laut yang lain yang dibiak dalam sangkar termasuk “Raja Ketam”. Pusat akuakultur adalah rumah kelong di atas air, dimana ianya dibina berdasakan stuktur rakit yang boleh terapung ditengah-tengah laut.
Selain itu pelancong juga boleh ke Pulau Kukup dengan menaiki bot yang akan membawa mereka ke Pulau Bakau dimana ianya juga sinonim dengan kawasan ekologi.

7) TEMPAT-TEMPAT MENARIK – Muar

Deretan bangunan yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua masih mewarnai senibina bandar ini. Bangunan tersebut menempatkan kedai-kedai di sepanjang Jalan Abdullah yang juga dikenali sebagai pusat dagangan Muar. Bangunan warisan yang ulung antara lain adalah Bangunan Abu Bakar (disiapkan pada 1929) yang menempatkan pejabat-pejabat pentadbiran Daerah Muar dan Bangunan Kastam (disiapkan pada 1909). Umur bangunan-bangunan lama tersebut mudah untuk dikenalpasti kerana tarikh ianya disiapkan (di sekitar tahun 1930an hingga 1950an) tertera di bahagian luar bangunan. Bangunan ini adalah warisan yang amat berharga yang menggambarkan kemakmuran Muar di masa lampau dan menghargai keunikannya akan membuatkan mereka-mereka yang pernah dibesarkan di Muar terkenang kembali kenangan di zaman silam.

Tarikan lain di Muar ialah Taman Tanjung Emas, taman rekreasi bagi bandar ini, yang terletak di muara Sungai Muar. Tebing sungai di taman ini dihiasi dengan laluan siar kaki yang menyajikan pemandangan menarik Sungai Muar. Taman ini yang dikunjungi ramai sewaktu hujung minggu juga menempatkan padang golf 9-lubang. Terdapat perkhidmatan bot menyusuri Sungai Muar selama 45 minit hingga satu jam yang bertolak dari taman ini untuk memberikan peluang kepada pelancong menikmati pandangan bandar Muar dari sungai.

Mercu tanda terbaru bandar ini ialah Mesjid Sultan Ismail, terletak di tebing utara Sungai Muar. Ia adalah mesjid terbesar di Muar. Disiapkan pada 2002, ia menyajikan pemandangan indah bila dilihat daripada bandar Muar, seolah-olah ia terapung di atas sungai.

HUTAN REKREASI GUNUNG LEDANG

Gunung Ledang ialah merupakan rumah kepada lagenda seorang Puteri iaitu “Puteh Gunung Ledang” yang pernah memikat hati Sultan Melaka. Gunung ini menjadi antara gunung kegemaran pendaki tempatan yang yang mencari keseronokan dan cabaran. Air terjun Sagil yang terletak di bahagian bawah gunung merupakan tempat perkelahan yang popular. Sungainya yang bersih dan udara yang nyaman serta keadaan yang tenang. Ianya memberi isyarat kepada para pengunjung bahawa kawasan ini merupakan tempat bermandi-manda atau tempat rehat. Air Terjun Sagil dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awan termasuk tempat istirehat, bilik menyalin pakaian, tapak perkemahan, gerai makanan dan tempat letak kereta. Ianya juga menyediakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak gunung.

...selamat bercuti.....

0 comments: