Situasi 1
A: “Kalau ko jalan2 ngan mak, contohnya g shopping complex ke. Pegang tangan mak tak?”
B: “Ish ko ni. Aku kan dah dewasa, takkan nak wat camtu. Malulah.”
Situasi 2
A: “Jomla pegi surau. Ade ceramah sket malam ni.”
B: “Takmaula. Segan. Aku kan jarang turun surau. Nanti orang kate ape plak.”
Situasi 3
A: “Eh, sejak bile ko ade facebook ni? Bukan dulu xde kew?”
B: “Saje wat. Malulah bile orang tanye. Aku xde facebook, orang ckp ketinggalan zaman.”
Situasi 4
A: “Ko penah g mid pakai baju kurung x?”
B: “Ish, xde style la pakai baju kurung. Wat malu je.”
A: “Owh. Kalau pakai seluar track ngan t shirt lengan panjang?”
B: “Lagila tak. Malu.”
Situasi 5
A: “Eh, tadi bukan ko dengar lagu nasyid ke? Nape tetibe tukar?”
B: “Tu kawan aku datang. Dia tu suka lagu inggeris. Tukarla. Malu lak kalo diorang tau. Sat g diorang ingat aku peril diorang plak.”
Situasi 6
B: “Camne nak bace ayat ni? Tanwin jumpe ngan huruf lam. Dengung ke tak eh? Tapi nak tanye sape? Batch aku takde. Kouhai je. Malu la plak nak tanye. Hurm.”
Situasi 7
A: “Nape ko tak rapat ngan die? Bukan die satu kelas ngan ko kew? Ko tak suke die ke?”
B: “Bukan. Tapi die tu kan kuat agama. Aku ni apela sangat. Malulah nak baik ngan die. Segan kalau dia tegur. ”
Mungkin anda semua pernah berdepan dengan situasi di atas. Sama ada anda jadi pihak yang berasa malu, atau pun pihak yang bertanya. Semuanya berkisarkan tentang perasaan malu. Setiap insan dibekalkan dengan perasaan malu. Secara umumnya, malu terbahagi kepada dua. Malu yang boleh dipupuk, iaitu rasa malu kepada ALLAH dan Rasul. Yang kedua adalah malu secara fitrah. Contohnya seseorang itu berpakaian kerana malu jika tubuhnya dilihat. Rasa malu ini penting. Dengan rasa malu inilah yang akan menghalang sesorang itu melakukan sesuatu yang tak sepatutnya. Dalam Islam, malu merupakan elemen yang melengkapkan iman.
Daripada Abu Mas’uud ‘Uqbah ibn ‘Amru al-Ansarie al-Badrie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik olehmanusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari)
Jadi , jika kita lihat balik 7 contoh situasi tadi, Si B telah melakukan perkara yang betol la kan. Sebab dia ada perasaan malu. Siapa setuju, angkat tangan. Wah, ramai juga. Tapi sesiapa yang bersetuju, cuba baca sekali lagi. Apa? Anda masih tak nampak di mana silapnya? Tak mengapa, cuba baca sekali lagi. Hurm. Masih tak kelihatan ye. Baiklah, biar saya tanyakan satu soalan, adakah Si B telah malu pada tempat yang betul? Atau dengan bahasa mudahnya, adekah alasan Si B untuk berasa malu dalam ketujuh-tujuh situsi itu relevan? Si B telah melakukan perkara yang sangat bahaya. Perasan malunya telah diletak pada tempat yang salah!
Si B rasa malu untuk memegang tangan ibunya. Kerana ia bakal mencalar imejnya sebagai seorang dewasa. Tapi mengapa kita perlu malu untuk memegang tangan orang yang telah melahirkan kita? Jika sewaktu kita masih kecil dan tiba-tiba kita berteriak menangis sewaktu berjalan-jalan di shopping complex. Ia pasti menarik perhatian orang sekeliling, malu kan? Tapi adakah ibu bapa kita akan meninggalkan kita? Kerana malu dipandang orang sekeliling? Tidak. Kerana kita adalah anak mereka dan tiada apa yang harus dimalukan. Jadi apa salahnya Si B tadi memegang tangan ibunya? Tak kiralah dia sudah sedewasa mana sekalipun. Itu bukan satu dosa, malah ada pahala yang menantinya. Tapi malangnya, bagi keadaan remaja zaman sekarang, mereka lebih berani untuk memegang tangan bukan muhrim mereka tanpa rasa bersalah. Kerana apa? Kerana rasa malu mereka salah tempatnya.
Banyak yang dapat saya perhatikan dari mata kurniaan Allah kepada seorang hamba yang hina seperti saya ni. Ada yang malu untuk berbaju kurung ke mid valley, tapi tidak kisah tatkala memakai seluar jeans dan baju ketat yang menampakkan bentuk badan. Tidak malukah mereka tatkala tubuh mereka menjadi perhatian? Ada juga yang rasa malu bila baju yang mereka pakai ada segaris kedutan, tapi tak langsung mengambil tahu bahawa tudung yang mereka pakai itu jarang dan menampakkan rambut, tengkuk dan sebagainya. Seperti risau melihat seekor semut mahu memakan coklat, tapi tidak kisah dengan api yang sedang membakar rumah sendiri.
Dalam situasi di atas, ade juga ketikanya Si B berasa malu jika kawannya tahu ketika dia mendengar lagu nasyid dan turun ke surau. Kerana apa? Kerana dia malu dikatakan ‘baik’ dan tunjuk alim. Takut dianggap ria’. Masya ALLAH. Janganlah berfikiran begitu, kenapa kita perlu takut untuk membuat kebaikan? Sudah jelas dalam AL-Quran, amar makruf nahi munkar. Kenapa kita perlu malu berbuat kebaikan? Kenapa kita dengan rela membiarkan kebaikan tewas dengan kejahatan? Sedarlah pada saat kita rasa malu untuk berbuat kebaikan kerana takut dianggap riak, kita sudahpun riak sebenarnya. Kerana apa? Kerana kita rasa perkara itu sebagai menunjuk kealiman dan kesolehan kita bukannya ikhlas kerana ALLAH dan kerana kita ini hambaNYA.
Kalau Si B tadi risau kalau-kalau dia telah memperli kawannya, biarlah. Hanya orang yang salah akan terasa pedasnya. Teruslah dengan perkara baik yang telah dilakukan, niat Si B bukannya buruk. Siapa tahu, dengan rasa ter ‘perli’ itu rakannya akan sedar. Secara tidak langsung Si B telah membawa rakannya ke arah kebaikan. InsyaAllah ada pahala untuknya. Ada juga dalam kalangan kita, malu untuk berkawan dengan orang yang berilmu kerana rasa rendah diri. Mengapa perlu rasa begitu? Bukankah kita telah diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Allah telah berfirman secara terus dalam Al-Quran. Takut untuk ditegur? Ambillah semua itu sebagai cabaran untuk membetulkan diri. Dalam situasi yang ketujuh, walaupun Si B rasa merasakan ilmu agamanya kurang berbanding rakannya, dia tak patut rasa malu. Kerana ALLAH memandang pada usaha dan bukan pada hasilnya. Yang penting ialah istiqamah. Ingatlah manusia tidak sempurna, kita sentiasa melakukan kesilapan. Cuma yang membezakan adalah bagaimana seseorang itu belajar dari kesalahannya.
Jadi, letaklah rasa malu itu pada tempat yang selayaknya. Agar ia menjadi benteng terbaik dalam diri kita untuk tidak melakukan maksiat. Dan semoga ia menjadi alasan untuk kita lebih mendekati ALLAH. Setiap kali kita mahu berasa malu, sentiasalah berfikir adakah rasa malu betul pada tempatnya? Atau itu hanya sekadar godaan halus syaitan yang mahu memesongkan iman kita. Janganlah sehingga rasa malu itu sirna dan menyebabkan kita terasa indah perbuatan maksiat yang sepatutnya dijauhi. Jika tiba saat itu, jalan kita untuk kembali akan semakin sukar..
“Maka apakah pantas orang yang dijadikan indah perbuatan buruknya, lalu menganggap baik perbuatannya itu? Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Maka janganlah engkau(Muhammad) biarkan dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka perbuat.” [Fatir, 8]
0 comments:
Post a Comment