Saturday, May 16, 2009

MARAH SEORANG MURID..

PANTANG datuk nenek kalau sedang mengajar dengan penuh mood ada orang ganggu, walaupun dua kali ketukan pintu minta izin hendak masuk.

Pagi itu, walaupun udara amat sejuk dan lembab, tetapi sejuk yang aku rasa seperti diterajang keluar dan tiba-tiba darah radang meruap hingga ke kepala. Midun yang bibir mulutnya rabit dan air liurnya berlenja, dengan rambut bersikat sedikit rapi menyeringai giginya yang putih, mengetuk pintu dua tiga kali walaupun pintu kelas senantiasa terbuka. Midun mengesat cepat air liurnya yang berlenja sejak tiga tahun yang lalu.

"Selamat pagi, cikgu!" katanya dengan suara sengau seperti dahulu juga.

Aku yang sedang meradang kerana kebingungan tiga puluh sembilan murid-murid tentang hukum Mad Wajib Muttasil dapat kubendung pula oleh kesopanannya.

"Masuk!" kataku dengan menahan sabar.

Midun terus melangkah masuk dan datang dekatku, berdiri dan angguk kepala. "Maafkan saya, cikgu," katanya dan terus ke bangkunya di barisan belakang.

Semua murid-murid hanya melirik ekor mata melihat Midun yang entah kenapa datang lewat pagi itu.

"Faham semua?" jerkahku dengan kuat setelah mattan Mat Wajib Muttasil kuberi. Kemudian serentak pula semua murid berkata faham. Midun pun yang baru sahaja duduk, turut berkata faham. Itulah tabiat yang selalu aku meluat. Apabila ditanya sahaja faham atau tidak, semua kata faham. Tetapi apabila tanya balik, semuanya ternganga dan terkejip-kejip.

Aku sebenarnya bukanlah seorang guru yang baik dan rajin tetapi tidaklah pula seburuk dan pemalas seperti mereka yang buruk dan malas. Aku banyak duduk daripada mengajar. Tetapi apabila aku mengajar, aku mengajar sungguh-sungguh. Selalunya aku memberi sepuluh soalan dan waktu itulah aku berharap semua murid akan jadi lembab dan bingung mendapat jawapan. Lambat menjawab bererti lamalah aku berehat.

Tiga puluh sembilan orang murid-murid, kurenung satu demi satu. Baik yang lelaki mahupun yang perempuan. Baik dan hodoh mahupun yang tidak hodoh. Tetapi semua muridku boleh dikatakan bersih, segak, berpakaian rapi. lni kerana kebanyakan ibu bapa tinggal di dalam kawasan bandar. Sekolah aku mengajar ini pun sekolah pusat. Kalau ada juga yang selekeh atau miskin, itu tentunya sesat dari ladang getah dan petani.

Midun yang datang lewat tadinya, terus juga membuat jawapan. Kadang-kadang matanya terbeliak ke atas mencari jawapan di syiling dan kadang-kadang mencari jawapan pada peta-peta di dinding. Barangkali tadi dia tersilap berkata 'faham' tetapi itulah salah satu cara menyelamat daripada kena penamparku.

Antara 39 orang murid, Midunlah yang sekian lama kupacakkan kebencian dalam ingatanku. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku tersangat benci kepadanya. Hendak dikatakan perangainya, perangainya baik. Hendak dikatakan bodoh sangat, Midun bukanlah termasuk dalam kumpulan bodoh. Ketika di tahap satu tahun satu tiga tahun yang lalu, peristiwa aku terkena paku payung dan dia menziarahi aku di hospital, membawa sebiji limau mandarin hampir-hampir aku terlupa. Apabila dia berada dalam tahun dua, aku tidak mengajar di kelasnya. Tahun tiga juga aku tidak mengajar. Guru darjah tahun tiga Cikgu Juliana.

Tahun ini, Midun termasuk dalam golongan murid yang agak pandai, tetapi sengaja aku tempatkan di barisan belakang. Kerja rumahnya selalu beres dan jarang membuat kesalahan seperti kawan-kawannya yang lain. Bagaimanapun aku tetap meletaknya di barisan lembab, dalam senarai murid yang aku kurang berminat.

"Cikgu, buang air besar." Tiba-tiba Taha, murid yang duduk di tepi dinding minta izin hendak keluar. Taha kawan Midun sejak tahun satu lagi.

Aku angguk. Permintaan buang air besar adalah permintaan yang mesti ditunai. Jika tidak busuk satu kelas jadinya.

Tahun lalu Midun dalam tahun tiga. Seluruh sekolah dan masyarakat sekitar menjadi gempar apabila Midun didapati membakar bilik darjah. Semua orang tidak sangka Midun yang pendiam itu boleh melakukan kerja-kerja seperti itu. Sungguh di luar dugaan.

Semua guru termasuk guru besar hampir tidak percaya yang Midun membakarnya. Mujurlah api tidak merebak ketika itu. Mujurlah cara membakar itu cara yang bodoh. Menurut siasatan yang dilakukan, Midun hanya menyumbat beberapa helal surat khabar lama di jaring-jaring besi dan menyumbat di celah-celah kambe di sana sini, kemudian menyalakannya. Bagaimanapun api sempat juga menjilat dan ketika tukang kebun nampak, api sudah membakar sudut bilik. Midun bukan membakar satu tempat, tetapi tiga tempat. Bilik tahun dua dan bilk tahun enam juga terlibat. Bomba dipanggil tetapi tidaklah sampai menyembur air kerana api itu dapat dipadamkan dengan curahan air oleh tukang kebun.

Bagaimanapun kesan terbakar nampak hitam oleh jilatan pucuk api. Akibatnya tiga kelas tidak boleh dipakai selama tiga bulan kerana disiasat oleh Jabatan Bomba dan Jabatan Pendidikan. Apabila punca kebakaran itu jelas dan didapati Midunlah yang membakarnya, Midun tidak boleh didakwa kerana dia seorang murid di bawah umur. Kes itu ditutup begitu sahaja.

Menurut siasatan pelbagai pihak, pada suatu petang seorang murid nampak Midun tidak naik bas pulang. Midun didapati membawa tiga empat helai surat khabar lama. Apabila kawannya bertanya untuk apa, Midun memberitahu dengan suara sengaunya yang dia hendak bakar sekolah. Kawannya hanya ketawa. Kemudian apabila tukang kebun nampak asap berkelun-kelun, tukang kebun segera berlari ke tempat itu dan tukang kebun nampak Midun berlari meninggalkan kawasan sekolah. Ketika itu semua murid kokurikulum sudah pulang. Seorang penjaga kantin cuba mengejar Midun tetapi tidak berjaya. Penjaga kantin hanya dapat kotak mancis yang jatuh.

Aku sendiri tidak percaya yang Midun boleh melakukan perkara seperti itu. Guru-guru lain juga tidak percaya. Guru besar juga tidak percaya. Tetapi oleh sebab ada saksi seorang murid, tukang kebun dan penjaga kantin, Midun disoal siasat.

"Midun bakar bilik darjah?" tanya guru besar dengan nada yang lembut. Barangkali itulah psikologi. Kalau aku, aku akan menempek dan pipinya disinggah penampar. Biar mulut rabitnya berlenja air liur. Biar air hidung meleleh.

Midun yang diketahui seorang munid pendiam, hanya tunduk. Betisnya yang kurus bitam, nampak bercalar sedikit. Mungkin terkena rembatan daun lalang ketika bermain.

Sepuluh orang anggotajawatankuasa disiplin hanya menunggu jawapan. Tetapi Midun tidak menjawab. Bibir rabitnya seperti

hendak bercantum apabila mulutnya dikebam-kebam. Air liur herlenja meleleh panjang.

"Kamu bakar bilik darjah?" Aku cuba bertanya dengan lembut menahan perasaan.

Midun memanggung kepala dan memerhati aku. Matanya yang sedikit juling itik memberi makna yang dia tidak berapa takut kerana aku bukan guru darjahnya.

"Semua orang nampak kamu yang bakar, betul?" Aku menekan lagi dengan nada sedikit kuat.

Midun memandang aku sekali lagi. Tepat dan berani. Matanya terbeiak luas. Tunduk. Memanggung semula lalu mengangguk.

Semua guru disiplin menghela nafas. Guru besar seperti hendak panik. Pengakuan jtu sesungguhnya pengakuan kurang ajar walaupun itu yang dikehendaki. Aku nampak semua guru disiplin seperti hendak bangun menyepak dan menendang Midun.

"Kenapa?" Cikgu Jalal yang tembun dan sedikit botak bertanya. Dia juga nampak geram seperti aku.

Midun tidak menjawab dan cara dia berdiri, berdiam din sangat jelas yang dia tidak akan menjawab lagi apa-apa soalan. Sahlah sudah dia yang membakar. Tetapi untuk mengetahui sebabnya tentulah mustahil. Satu kajisiasat mesti dibuat.

Mesyuarat disiplin hari itu mengambil keputusan, Midun akan dihukum rotan di perhimpunan minggu hadapan. Jika ini menjadi kesalahan pihak atasan, semua guru disiplin akan bertanggungjawab. Surat menyatakan kesalahan dan hukuman akan dihantar kepada bapa Midun yang bekerja sebagai tukang sapu.

Sebelum tiba han perhimpunan, aku dan tiga orang guru lagi membuat penyelidikan. Guru besar yang melantik kami. Yang pertama kami menyoal ialah Cikgu Juliana, guru tahun tiga di mana Midun menjadi muridnya.

"Kerja rumah tak pernah buat, mana saya tak geram!" kata Cikgu Juliana yang tembam dan

berkaca mata dan sering memakai gincu bibir. "Saya tak pernah rotan, tak pernah pukul. Tapi saya dera berdiri di atas bangku

sampai dua tiga mata pelajaran," terang lagi Cikgu Juliana.

Guru mana pun akan geram jika kerja rumah tidak beres. Kalau aku sekalipun, murid seperti itu aku sepak sampai ternonong-nonong.

"Satu hari kerana terlampau lama, Midun terduduk. Bila saya suruh juga berdiri, dia berdegil. Saya tampar pipinya sekali. Midun tidak menangis dan melawan. Dia tersengih sehingga air liurnya berlenja," terang lagi Cikgu Juliana dengan sebak dan sayu. Perempuan, begitulah. Mudah terasa apabila disoal.

Memang, memang kami bersependapat yang Midun salah. Midun mesti dihukum sewajarnya.

"Dua hari selepas saya buat begitu, Salam, kawan yang duduk di tepi Midun memberitahu saya yang Midun ada membawa mancis api. Saya panggil Midun. Saya syak kalau-kalau Midun hisap rokok. Bila saya tanya, Midun dengan berani menjawab: 'Saya nak bakar sekolah!' katanya dengan geram. Dia sungguh berani nampaknya. Dia seperti hendak membalas dendam," beritahu Cikgu Juliana dengan esak tangisnya.

Kami menerima laporan itu dengan senyum. Lucu pun ada.

"Saya rampas mancis api itu dan saya anggap tak ada apa-apa lagi." Demikian Cikgu Juliana mengakhiri soal siasat kami.

"Anak saya tak pernah buat perangai macam itu. Dia baik. Malam-malam saya suruh dia ikut saya tolong jual barang di pasar malam," terang pula Hambali, bapa Midun, yang kerja sebelah malam menjual barang-barang runcit di pasar malam. "Kalau dia buat juga, cikgu buatlah, hukumlah apa pun, jangan buta dan capik cukuplah!"

Apalah yang kami hendak kata jika begitu pengakuan seorang bapa terhadap anaknya.

Pada hari perhimpunan pagi itu, kebetulan aku bertugas mengawas perhimpunan. Ketika murid-murid membetulkan barisan masing-masing aku dapati Midun berada di hadapan sekali. Midun terhenjak-henjak ditolak oleh kawan. Dia berdiri gagah, memandang jauh. Tangannya lurus di paha. Tegaknya bagai seorang askar menerima tabik.

Semua guru berdiri di hadapan. Guru besar di tengah. Ketika lagu Negaraku dinyanyikan, Midun begitu kuat suara sengaunya.

Jika pada hari-hari lainnya, Midun berdiri di belakang dan tidak membuka mulut pun waktu menyanyi.

"Hari ini kita adakan mahkamah kecil. Kita akan bicarakan setiap murid yang melakukan kesalahan, melanggar undang-undang sekolah!" Aku berkata lantang melalui pembesar suara.

Semua murid diam dan ada antara mereka kelihatan takut. Dan sebelum aku sempat menyambung ucapanku, Midun tiba-tiba melangkah ke hadapan dan berdiri menghadap banisan dengan sombong. Aku berasa hairan dan semua guru juga berasa hairan dengan perangainya itu. Dia seolah-olah tahu yang namanya akan dipanggil.

Aku meneruskan ucapan lagi. Midun mengasak dekatku, meluruskan tangan di paha seperti bersedia menerima perintah.

"Cikgu, saya sudah sedia!" katanya dengan suara bergetar dalam.

Alangkah biadapnya Midun! Jika dia menjadi murid kelasku, pasti dia akan menerlina hukuman di dalain kelas nanti. Tetapi apa boleh buat dia di dalam kelas Cikgu Juliana.

"Tengok semua! Midun ni bukan saja sanggup bakar kamu, tapi juga biadap dalam perhimpunan ini!" kataku dengan lantang.

Midun mendongak ke langit seperti menahan pedih sebatan rotan. Matanya terkejip-kejip seperti menahan hangat air mata.

Apabila guru besar mengambil alih dan melentur-lentur rotan yang dipegangnya, semua murid diam. Guru-guru berbisik sama sendiri. Cikgu Juliana yang mengajar Midun seperti tidak sanggup melihat hukuman yang akan dilakukan oleh guru besar.

"Murid-murid!" kata guru besar. "Setelah jawatankuasa disiplin meneliti, nyatalah Midun bin Hambali ini telah melakukan kesalahan yang sangat besar. Pihak sekolah tidak ada cara lain lagi untuk menghukum kesalahannya melainkan dengan sebat sebanyak enam kali!"

"Tuan, saya sudah bersedia!" kata Midun seakan-akan menjerit. Suara sengaunya bergetar tetapi tegas. Dia memandang jauh seperti seorang askar menunggu lawatan ketua ketika berbaris.

Sekali lagi guru-guru berasa hairan. Guru besar terpinga-pinga. Tidak seorang pun tahu mengapa Midun bersikap begitu, sewaktu bersoal jawab dahulu, Midun langsung tidak membantah.

Aku lihat guru besar tidak dapat menahan sabarnya kerana kebiadapan Midun. Itulah pertama kali dalam sejarah sekolah, dalam sejarah pengalamanku mengajar berpuluh tahun, seorang murid begitu berani menerima hukuman.

Ketika guru besar menyebat, Midun membongkok dengan patuh. Midun langsung tidak teragak-agak. Midun seperti unta di Makkah yang sedia disembelih. Apabila rotan hinggap di punggungnya tiga kali, Midun hanya mengerut muka sedikit menahan sakit tetapi tidak pula mengaduh. Dia memejam mata dan mengebam mulut. Aku nampak tangan Midun memegang kejap kepala lututnya. Kemudian apabila guru besar meminta Midun menyua tapak tangan, Midun menyua dengan penuh kerelaan. Bunyi sebatan amat menyayat. Semua murid gugup dan takut. Midun hanya mengalih muka seperti mencari di mana Cikgu Juliana.

"Cikgu, boleh saya ke tandas?" Tiba-tiba murid yang kutanam kebencian sekian lama, berdiri di hadapanku dengan sopan, meminta kebenaran dengan lembut sekali.

Lamunanku terhadap peristiwa Midun pada tahun lain terputus. Aku mengangguk.

Kini Midun bukan seperti dahulu lagi walaupun benciku masih seperti dahulu juga. Hingga kini aku melabelkannya sebagai murid biadap dan jahat. Sebagai murid kotor dengan bibir mulut rabit dan berlenja. Kepada kawan-kawannya, aku selalu menyindir supaya jangan jadi macam Midun yang membakar sekolah. Tetapi Midun sejak menerima hukuman sebat enam kali dengan rotan tahun lalu, serta-merta menjadi murid yang baik, patuh dan rajin membuat kerja rumah. Aku dapat tahu Midun tidak lagi ikut bapanya ke pasar malam tolong jual barang-barang. Sepanjang tahun ini aku dapati Midun semakin maju. Sikap dan perangainya cukup layak menjadi seorang pengawas. Tetapi sengaja dia tidak diberi peluang. Benciku tidak pernah susut.

Minggu pertama buka sekolah Midun sudah menunjukkan perangai yang berlainan sekali. Aku tidak tahu adakah dia senang dan suka kepadaku sebagai gurunya daripada Cikgu Juliana tahun sudah. Midun akan meminta izin apa sahaja yang hendak dibuatnya. Ucapan terima kasih tidak pernah dilupakannya jika aku memeriksa bukunya atau apa sahaja yang kubenarkan permintaannya.

Kadang-kadang dia menawarkan diri untuk mengambil beg, ringkasan atau bekalan yang aku suruh murid-murid lain mengambil.

Terasa baik hatinya seperti dia menghadiahi aku limau mandarin di hospital dahulu.

Semua kelakuan Midun, guru besar meminta aku melaporkan kepadanya. Guru besar juga meminta bapa Midun datang sebulan sekali lalu ditanya itu ini. Bapa Midun seperti dahulu juga. Katanya, buatlah apa-apa yang patut; jangan buta dan capik sudahlah! Kemudian kepada guru besar diberitahu pula, Midun tidak lagi mengikutnya ke pasar malam menolongnya menjual barang-barang. Dia tahu selama ini pelajaran Midun terganggu.

Minggu lalu, tiga hari berturut-turut, aku lihat Midun seperti menunjuk-nunjuk apa-apa yang dilakukannya. Midun seperti hendak memberitahu kepadaku yang dia rajin dan bertanggungjawab. Selalunya ketika aku hendak ke tandas pagi-pagi, Midun memungut sampah di tepi longkang dan dimasukkan ke dalam tong sampah, kemudian tersengih kepadaku.

Dialah yang menyapu habuk di meja. Dialah yang menyusun buku rampaian dan dialah yang mencuci papan tulis. Ada botol kecil tempat pokok bunga di mejaku. Awal minggu Midun akan meletak sekuntum bunga ros yang segar. Pada hari pertama aku berasa hairan.

"Siapa yang baik hati meletak bunga ros di meja ni?" Aku bertanya sebelum memulakan pelajaran.

Midun berdiri dan mengangkat tangan. Bibir mulutnya yang rabit terjuih.

"Kamu curi di mana?" tanyaku denganjijik.

Munid-murid lain ketawa terkekeh-kekeh. Midun termalu dan duduk perlahan-lahan. Air mukanya seperti hendak menjawab yang dia tidak pernab mencuri.

Tiba-tiba pintu diketuk. Aku sekali lagi terputus lamunan. Midun berdiri lurus menanti perintah masuk.

"Masuk!" kataku.

Midun terjengket-jengket masuk dan mendekati aku. Merapatkan tangan di paha. "Cikgu, saya jumpa duit sepuluh ringgit," katanya sambil meletak wang kertas sepuluh ringgit di atas meja. Bibir rabitnya mengorak senyum. Matanya bercahaya.

"Kamu jumpa di mana?"

"Dekat tandas," katanya dengan bangga.

"Haaa, terima kasih," kataku dengan bersahaja dan wang itu aku ambil untuk disimpan. Esok atau lusa akan kuhebahkan ke seluruh sekolah. Selalunya begitulah.

Ketika Midun balik ke mejanya, aku lihat dia cukup bangga. Ia tersenyum dan langkahnya mendada. Apabila kawan-kawannya memerhati Midun tersenyum sahaja.

Aku sengaja tidak ambil kisah. Kalau murid-murid yang lain, aku akan memberitahu semua bahawa inilah sikap yang baik. Aku akan suruh mengikuti contoh yang baik ini. Jika wang yang dijumpai agak banyak, seperti Midun jumpa tadi, guru besar akan rnemanggil murid tersebut di dalam perhimpunan dan memberi tahniah.

Perhimpunan hujung minggu pun tiba. Seperti hari-hari perhimpunan yang lalu, yang lalunya dan yang lalunya lagi, selain guru besar, guru-guru lain juga berucap. Guru sekolah sukan akan berucap tentang sukan. Guru kokurikulum akan bercakap perkaranya.

Pada pagi itu guru besar bercakap terlebih dahulu. Diperingatnya hari peperiksaan sudah dekat. Selepas itu guru besar pun berkata:

"Hari ini ada satu contoh yang baik saya nak tunjuk. Di minta murid yang berjumpa wang kelmarin sila ke depan. Beri tepukan kerana jujurnya!"

Semua murid-murid bertepuk tangan.

Midun keluar dan barisannya dengan megah. Dibetul-betulkan seluarnya yang terlondeh. Dia senyum bangga. Aku menjadi hairan. Bilakah Midun melaporkan yang dia jumpa wang kepada guru besar? Setahu aku wang sepuluh ringgit yang diberi kepadaku masih ada dalam dompetku dan sebenarnya aku terlupa hendak melaporkan kepada guru besar.

Apabila Midun berdiri di sisi guru besar, guru besar melihat hairan kepadaku. Suasana perhimpunan senyap. Semua tertumpu kepada Midun. Guru-guru yang lain, yang tidak tahu pucuk pangkal~ menunggu sahaja keadaan selanjutnya.

Aku jadi panik. Aku terasa satu pukulan malu dari Midun.

"Midun, sila masuk barisan semula. Saya tak bermaksud kamu!" kata guru besar.

Midun terpinga-pinga. Mukanya jadi merah padam. Semua murid-murid ketawa dan Midun melangkah masuk dengan menunduk muka.

Guru besar mengeluarkan secebis kertas dan saku bajunya. "Salman! Mana Salman, Darjah Lima Hijau?" kata guru besar dengan matanya melalak-lalak.

Murid yang bernama Salman keluar tersipu-sipu. Sekali lagi tepukan bergemuruh. Dan Midun yang berada di belakang terasa tepukan itu seperti menampar-nampar mukanya.

"Inilah rakan kamu yang saya maksudkan. Dia jumpa wang tujuh ringgit dan diserahkan kepada saya. Syabas!"

Bunyi tepukan bergemuruh lagi tetapi sebahagian muridmurid berpaling melihat Midun. Midun tunduk seperti tangkai bunga patah.

Aku menarik nafas lega. Kiranya kesilapan aku dapat ditudung. Aku meninjau melihat Midun yang tersorok di celah kawan-kawannya. Midun tidak panggung-pangguk kepalanya. Tetapi entah apa bahangnya, dalam dadaku tersimbah sedikit perasaan salah. Aku seperti membaca retak hati Midun.

Esoknya aku seperti tidak apa-apa. Peristiwa perhimpunan kelmarin tidak ada dalam ingatanku. Kepada Midun aku beritahu yang aku terlupa. Aku mengajar seperti biasa. Tetapi satu perubahan kepada Midun benar-benar nampak. Hari itu tiga kali sebelum rehat Midun keluar ke tandas atau ke mana, tanpa meminta izin kepadaku. Dan apabila masuk, Midun tidak lagi mengetuk pintu, tidak lagi datang kepadaku memberi terima kasih. Ketika aku mengajar Midun hanya tunduk dan menulis sesuatu tanpa menghiraukan ajaranku.

Esoknya begitu juga. Midun keluar tanpa meminta izin. Dia nampaknya sangat samseng. Tiga empat kali dia keluar ketika aku sedang menunjuk sesuatu kepada darjah. Dan pada han itu tidak ada bunga di atas meja. Buku rampaian tidak lagi tersusun. Papan hitam bercontengan sehingga aku terpaksa meminta ketua darjah memadamnya dengan lukisan kartun hodoh.

Tapi oleh sebab kebencianku, perubahan Midun aku tidak peduli. Sama ada dia semakin baik dan rajin atau memulakan semula perangainya, aku tidak ambil kisah.

Biar!

Tiba-tiba pada hari itu, lima belas minit lagi hendak pulang, Midun keluar tanpa izinku lagi. Aku yang sangat mengantuk sempat melihat Midun menggenggam sesuatu di tangannya. Selepas Midun, keluar lagi seorang murid minta hendak ke tandas juga.

Kubenarkan. Ketika murid-murid menyusun bangku kerana tiga minit lagi hendak pulang, murid yang keluar selepas Midun tadi masuk terburu-buru.

"Cikgu!" katanya dengan penat mengah. "Midun conteng dinding tandas!"

"Bila?" Aku membeliakkan mata.

"Tadi, waktu saya ke tandas!"

Belum sempat murid itu mengakhiri laporannya, Midun masuk. Masuknya pun tidak juga mengetuk pintu seperti hari-hari yang lalu. Midun terus ke bangku mengangkat kerusi dan berdiri menunggu loceng berbunyi. Mukanya kelihatan puas seperti baru hilang dahaga.

"Midun!" Aku memanggil kasar.

Midun tidak terkejut tetapi murid-murid lain tersentak. Semua diam kerana mereka sudah maklum panggilan dengan suara kasar tentu sekali aku meradang.

"Midun! Mari sini!"

Midun keluar dengan begnya dan jalannya macam koboi dalam TV. Dia sedikit pun tidak nampak cuak.

"Betul kamu conteng dindmg tandas?"

Midung mengangguk dan membeliakkan matanya. Tidak ada rasa takut.

"Kenapa?"

Midun tidak menjawab seperti jawapannya sudah aku maklum.

"Kamu conteng dengan apa?"

Mid√ľn mengeluarkan pensel warna daripada begnya. Sungguh berani Iagaknya.

Loceng pulang berbunyi. Ketua darjah memberi ucapan terima kasih dan semua murid keluar berbaris. Midun juga keluar tanpa pedulikan aku yang masih menjegil kepadanya.

Sebenarnya aku tidak patut geram kalau hanya sekadar menconteng dinding tandas. Bukan tidak ada dinding tandas yang diconteng oleh murid-murid lain. Tetapi oleh sebab aku mendapat tahu Midun yang menconteng, aku menjadi geram lebih daripada hadnya. Aku ingin mencari kesalahan Midun sahaja. Dan benarlah ketika aku masuk ke tandas, di belakang daun pintu aku dapati satu lukisan kartun yang terang sekali. Kartun itu menunjukkan seorang guru lelaki berwajah bengis, bercekak pinggang dengan mulut ternganga luas dan mata terbeliak.

Sepatutnya lukisan hodoh itu membuat aku ketawa. Tetapi tidak dengan lukisan kartun Midun ini. Semakin lama aku renung, semakin benci aku rasa. Apresiasi Midun nyata sekali. Kartun itu seolah-olah aku sedang marah dan lahir daripada seorang yang amat benci.

Aku menjadi bertambah marah kerana kartun itu dilukis dengan wajah panjang, mulut yang ternganga, dijolok pula dengan sebatang kayu dan digaris pula di sana sini menambahkan kehodohannya.

"Celaka!" Aku menyumpah sendirian. Aku berazam akan kuajar Midun esoknya. Akan kubelasah secukupnya sebelum aku membuat laporan kepada guru besar.

"Celaka!" Sekali lagi aku menyumpah serta menendang tayar keretaku apabila aku dapati di sebelah kanan kempis. Aku tidak syak orang lain, melainkan Midun. Pasti Midun. Midun tentunya Midun! Midun!

'Midun!' Aku seakan-akan berbisik hairan apabila aku ternampak Midun bercekak pinggang, berdiri memandang ke arahku di pintu pagar ketika aku sedang menukar tayar dengan susab payah. Guru-guru lain sudah pulang. Midun seperti hendak melihat apakah yang akan kubuat. Midun yang bercekak pinggang itu seperti orang yang sangat berani, seperti penjahat dalam cerita koboi yang sedia bertarung bila-bila masa sahaja.

Aku menaruh dendam untuk esok. Aku pura-pura tidak melihatnya lagi. Midun seperti puas apabila melihat aku bersusah payah menukar tayar dan kemudian dia pun beredar.

Pagi esoknya, aku datang ke sekolah dengan segantang darah singa lapar. Tidak seorang pun guru yang tahu. Kejadian menconteng dinding tandas tidak ada laporan. Mungkin juga murid-murid yang lain tidak perasan. Tetapi aku sedang menyimpan darah dendam bergantang-gantang.

Tetapi jadahnya Midun tidak datang. Sahlah! Sudah pukul lapan setengah pagi. Selalunya waktu ini dia sudah datang. Barangkali dia berpendapat, jika esok atau lusa, tegang marahku mungkin hilang. Mungkin juga aku lupa begitu sahaja. Tetapi aku tidak semudah itu. Dengan darah dendam singa lapar, aku berjanji aku akan menghukum Midun walaupun setahun akan datang.

"Cikgul" Tiba-tiba budak pejabat memanggil aku. Aku, yang sedang berangan-angan di meja ketika semua murid-murid menyalin, terkejut.

"Guru besar panggil," katanya.

"Bila ?"

"Sekarang!"

Aku segera meninggalkan bilik darjah.Ini tentu menguatkan lagi dendam dan marahku jika laporan dinding tandas sudah sampai ke pengetahuan guru besar. Tetapi alangkah terkejutnya aku apabila aku masuk bilik guru besar, kudapati bapa Midun dengan Midun ada bersama.

Guru besar menjemput aku duduk. Bapa Midun yang berseluar kotor, seperti baru sudah mengorek parit, bangun dan bersalaman denganku penuh hormat. Midun pula berdiri dengan sopan, senyum dan duduk semula sebaik-baik aku duduk.

"Cikgu, bapa Midun ni nak cakap sikit dengan cikgu," kata guru besar.

Aku sudah syak tentu sekali Hambali, bapa Midun, akan meminta maaf atas kurang ajar anaknya. Dan Midun tentu sekali takut hendak datang ke sekolah.

"Cikgu," kata Hambali, "Midun anak saya ni tak mau sekolah lagi di sini. Dia minta tukar ke sekolah lain."

'Bagus! Bagus sekali,' sungut hatiku. 'Baguslah kalau begitu,'

Aku berkata dengan bahasa mata dan merenung Midun.

"Saya nak minta nasihat cikgu, bolehkah?" tanya lagi bapa Midun.

Aku mendengar suara bapa Midun seperti satu irama yang amat lembut dan harmoni masuk ke dalam sanubariku. Amat jujur dan ikhlas rasanya. Aku tunduk. Aku tidak tahu apakah pandangan guru besar. Dan lebih aneh, aku tidak dapat menentang wajah Midun yang selama ini aku benci. Aku menjadi seekor kucing Siam yang manja.

"Setahu saya Midun sudah berubah perangainya sejak kena sebat tahun sudah. Dia tak lagi ikut saya ke pasar malam tolong saya berniaga."

Guru besar cuma angguk-angguk.

"Ya, Midun rajin dan kelakuannya sudah berubah," kataku tiba-tiba. Aku tidak tahu mengapa aku berkata seperti itu. Aku mengilas tanganku ke belakang kerusi. Tanganku terasa disentuh. Terasa diraba-raba. Aku dapati Midun sengaja menghimpitkan duduknya dekatku. Dan alangkah anehnya, tanganku digenggam erat dan kejap.

"Cikgu," kata lagi bapa Midun untuk meminta simpati. "Saya minta tolong cikgu, saya rayu kepada tuan guru besar, tolong jangan benarkan Midun tukar ke sekolah lain!" Dari matanya terkejip-kejip seperti hendak menangis. Kemudian dia beralih kepada Midun. Dia menjegil kepada Midun.

Midun memerhati aku agak lama. Tanganku masih terasa dalam genggamannya. Darah singa lapar yang kusimpan kelmarin, terasa susut sedikit demi sedikit.

"Kenapa Midun nak tukar sekolah?" tanya guru besar.

Midun tidak menjawab. Dia tunduk.

"Saya sayang sekolah ini, cikgu. Midun sudah jadi baik. Saya tak marah cikgu pukul dia. Dia betul-betul baik dan rajin!" kata Hambali.

"Bohongggg!'

Tetapi tempikan itu tidak keluar daripada mulutku, tidak terluah daripada kerongkongku. Tempikan itu mengalir deras hingga ke lubang duburku dan terus jadi angin yang kulepaskan amat perlahan.

"Midun belajar di sekolah ini saja ya!" kata guru besar memujuk.

Midun tunduk dan mengangguk kecil.

"Satu lagi, cikgu," tambah Hambali, bapa Midun. "Kelmarin, waktu hendak balik, Midun nampak paku karat tertikam di tayar kereta cikgu. Dia cabut. Tayar jadi kempis. Midun takut cikgu tuduh dia, dia pun lari!"

Guru besar tersenyum.

Midun mengesat lenja air liurnya yang meleleh. Bibir rabitnya nampak bergerak-gerak.

Aku terasa hendak pitam. Jiwaku menggelabah. Terasa tersepit antara dendam dengan penonjolan Midun yang ingin jadi baik. Midun yang kulihat tunduk di sisiku, melepas genggamannya sedikit demi sedikit. Aku tidak faham kenapa.

"O.K., Midun boleh ke kelas sekarang!" kata guru besar.

Midun teragak-agak hendak bangun.

"Midun boleh masuk kelas sekarang," kataku dengan lembut. Ya Tuhan, itulah pertama kali aku bersuara lembut kepada Midun.

Midun bangun, bersalaman dengan sopan.

"Cikgu," bapa Midun berkata lagi sebaik-baik Midun keluar. "Sedikit hari dulu, Midun minta sepuluh ringgit. Katanya dia nak derma tabung. Saya pun tak tahu tabung apa. Betulkah, cikgu?"

Aku tersentak seperti dikejut dengan kuasa elektrik. Aku teringat bagaimana pada suatu hari Midun dengan senyum bangga, dengan sinar mata yang bercahaya, menghulur. wang sepuluh ringgit kepadaku dan dengan bangga pula dia memberitahu yang dia jumpa dekat tandas.

Aku teringat bagaimana Midun keluar dengan bangga di perhimpunan apabila guru besar meminta murid yang terjumpa wang dan aku masih terbayang bagaimana Midun menahan rasa malunya ketika dia disuruh masuk semula ke barisan kerana bukan dia yang dimaksudkan terjumpa wang itu. Aku teringat, wang sepuluh ringgit masih ada dalam dompetku.

Aku teringat bagaimana perangai Midun menjadi pelik pula selepas kejadian itu. Midun bersikap seperti memprotes kerana dia tidak dihargai.

"Tidak, pihak sekolah tak minta sebanyak itu," kata guru besar.

Hambali jadi hairan. Dia bangun. "Cikgu, boleh tunggu saya sekejap," katanya dan keluar dengan terburu-buru. Mungkin dia hendak ke tandas.

Aku menjadi singa bodoh di hadapan guru besar sepanjang peninggalan bapa Midun.

Tiba-tiba Hambali muncul dengan muka bengis, menolak Midun masuk dengan kasar, bercekak pinggang, bagaikan singa lapar.

"Cakap kepada cikgu, apa pasal bohong?" tempik Hambali dan menolak kepala Midun.

Midun tidak menjawab.

"Abang, duduk dulu, sabar!" Aku memujuk. Sekali lagi aku hairan mengapa aku bersikap begitu, sepatutnya aku menempeleng Midun.

"Cikgu, saya bukan sayang sepuluh ringgit tapi saya mau dia jujur. Saya selalu suruh dia jujur kepada sekolah, kepada kawan-kawan dan kepada guru-guru," kata Hambali dengan kesal, seperti amat malu rasanya.

"Midun mari !" Aku menarik Midun keluar. "Abang, jangan kacau-kacau lagi pasal duit," kataku di pintu pejabat.

Guru besar dan Hambali tercengang.

Aku membawa Midun ke kantin. Midun menurut seperti anak kambing bodoh yang sakit.

"Midun nak minum apa?"

Midun menggeleng kepala. Dia tunduk seperti hendak menangis. Bibir rabitnya berlenja dengan air liur.

"Minum teh, kopi, milo?"

Midun menggeleng-geleng kepala. Jarinya mengerunas-runas meja.

"Midun!" Aku mengeluarkan wang sepuluh ringgit. "Ini duit Midun dulu. Maafkan cikgu kerana cikgu lupa."

Midun merenung aku cukup lama sehmgga air liurnya berlenja panjang. Di kelopak matanya ada air yang tergenang. Bibir mulutnya bergerak-gerak.

"Midun marah kepada cikgu?"

Midun menggeleng-geleng. Tunduk. Alangkah mulianya hati murid ini kerana di wajahnya tidak ada awan-awan dendam yang berarak!

"Maafkan cikgu, ya!"

"Cikgu," kata Midun dalam sebak. "Saya ... saya tak akan buka rahsia ini. Percayalah!" Kemudian dia mengesat-ngesat air mata. Dia tersedu-sedu.

Aku menjadi terkunci mulut. Dalam rongga dadaku kosong. Di mana darah singa laparku susut?

"Cikgu, saya nak masuk kelas." Midun bangun dan beredar. Setompok air liur lenjanya daripada bibir yang rabit, ditinggalkan di atas meja.

Aku hanya melihat langkah Midun yang terhincut-hincut. Dalam dadaku terlonjak satu keharuan. Aku sesungguhnya menyesal dan terasa kesal sepanjang hidup dalam profesion ini.

"Ya, Allah, jadikan muridku ini manusia yang berjaya"


penulis : Azizi Haji Abdullah

0 comments: